Tuesday 7 February 2012

Komsas Tingkatan 5




Tanggar Amanat




Perkataan "tanggar"  berasal dari dialek Melayu Johor yang membawa maksud memikul atau menggalas beban  (Dirgahayu Bahasaku,2010: 350; Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1599). Tanggar juga boleh digunakan bagi merujuk sanggup (pekerjaan) dan bergalah ke mudik. Amanat pula ialah pesanan, wasiat atau nasihat (Ibid: 42).


Cerpen "Tanggar Amanat" karya Amaruszati Noor Rahim termuat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku, muka surat 177 - 184. Hawa, bakal ibu berada di persimpangan, sama ada hendak pulang ke Malaysia, atau terus tinggal di Yellowstone, Amerika Syarikat yang menjadi tempat empayar warisan perniagaan almarhum Ahmad Abdullah. Akhirnya, bayi dalam kandungan Hawa yang berusia 4 bulan bertindak sebagai suara nurani untuk Hawa membuat keputusan yang rasional.






Watak dan Perwatakan




Hawa


Watak utama. Generasi ke-7 Ahmad Abdullah. Sangat menghargai warisan keluarga. Hatinya terlalu berat untuk meninggalkan Yellowstone walaupun risiko letusan kawah gunung berapi di situ sangat tinggi. Juga bakal ibu yang penyayang. Hawa sangat sayang akan kandungannya yang baru berusia 4 bulan. Hawa dan Adam telah bersabar selama 8 tahun sebelum kehamilan pertama itu. Hawa juga rasional. Dia akur akan hujah kandungannya bahawa keturunan Ahmad Abdullah lebih penting daripada harta yang diwariskan.




Adam


Suami Hawa. Penyabar. Adam tetap memujuk Hawa dengan lemah lembut walaupun Hawa sangat degil dan tegar dengan pendirian mempertahan harta warisan. Adam juga petah berkata-kata. Dia berjaya menangkis setiap hujah Hawa yang dipengaruhi emosi. Apabila kesabarannya habis, Adam berlalu tanpa sepatah kata.




Anakanda


Bayi dalam kandungan Hawa. Bijak berhujah. Dia dapat menggambarkan kuasa Allah mentadbir alam dan membayangkan kesan bencana gunung berapi. Dia juga berpandangan jauh / futuristik. Saran supaya Hawa membuka perniagaan di tempat lain ialah bagi mengelak hasil yang diperoleh di bumi Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi. Selain itu, prihatin. Dia mahu Hawa patuh kepada suami, Adam dan supaya dia berluang lahir ke dunia, serta tidak menjadi korban bencana.




Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah


Datuk dan nenek kepada Hawa. Bermula dengan chalet di pinggir jalan hingga mampu mengasaskan perniagaan besar.






Latar Tempat




Taman Nasional Yellowstone


Taman tema persendirian yang diasaskan oleh Ahmad Abdullah. Terletak di permukaan kawah gunung berapi aktif. Sebuah kawasan subur nan indah, ditumbuhi pokok dan bunga, serta diidiami pelbagai spesies haiwan. Juga menjadi pusat motivasi (Devils Tower)Namun, ahli kaji bumi (geologi) meramalkan letusan boleh berlaku bila-bila masa.




Ruang rahim kandungan janin / bayi


Hawa menjengah masuk ke dalam ruang tubuhnya sendiri, secara rohani. Hawa bertemu dan berdialog dengan janin yang dia kandung. Di situ Hawa terperangah (tercengang, tidak dapat berkata-kata, payah; Ibid, 55) dengan hujah si janin, walaupun dengan sang suami, Hawa masih enggan mengalah.






Nilai murni




Ketegasan: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu


Kesabaran:  Adam sanggup bertahan dengan sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia


Kebijaksanaan:  Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi


Rasional / berpandangan jauh: Janin Hawa dapat mengaitkan hasil bumi di Amerika dengan pembiayaan negara haram Yahudi


Kasih sayang:  Hawa menyayangi harta warisan, tetapi dia disedarkan oleh janin bahawa kesinambungan keturunan lebih utama


Ketaatan / kepatuhan:  Janin menggesa Hawa akur akan pujukan Adam untuk kembali ke Malaysia






Persoalan




Ketegasan dalam menyatakan pendirian: Hawa tetap tidak mahu berganjak daripada Yellowstone walaupun tahu akan risiko tempat itu


Kesabaran dalam usaha memujuk seseorang: Adam tidak menyerah terhadap sikap degil Hawa yang enggan berpindah ke Malaysia


Kebijaksanaan dalam berhujah: Janin dalam kandungan Hawa berjaya menangkis hujah Hawa yang lebih dipengaruhi emosi


Sikap rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan: Janin Hawa membuka minda ibunya bahawa hasil bumi di Amerika disalurkan kepada negara haram Yahudi


Kasih sayang dalam keluarga: Hawa akhirnya disedarkan bahawa kesinambungan keturunan lebih utama daripada harta warisan


Ketaatan / kepatuhan terhadap suami: Hawa akur akan gesaan janin untuk menerima pujukan Adam supaya kembali ke Malaysia






Pengajaran




Kita hendaklah tegas dalam pendirian


Kita hendaklah sabar dengan kerenah ahli keluarga


Kita hendaklah bijak dalam berhujah


Kita hendaklah rasional / berpandangan jauh dalam membuat keputusan / tindakan


Kita hendaklah berkasih sayang dalam keluarga


Kita hendaklah patuh / taat kepada suami
















Dua Geliga Hikmat




Sinopsis:


Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksaksa itu. Inderaputera telah melepaskan rambut raksaksa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri semasatuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut. Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda dan raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.






Tema:


Pengembaraan seorang anak raja
Inderaputera sanggup menghadapi segala rintangan untuk sampai ke Berma Sakti bagi mendapatkan batu gemala hikmat.




Persoalan:


Persoalan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu hasrat. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan Tuan Puteri.


Persoalan keberanian menghadapi musuh. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.


Persoalan berpegang kepada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.






Watak dan Perwatakan:




Watak Utama:




Inderaputera


Ayahandanya Maharaja Bikrama Puspa


Bondanya Puteri Jamjam Ratna Dewi


Paras rupa yang menarik


Bijaksana. Inderaputera telah mengambil baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dia dapat bertemu dengan tuan puteri.


Berani. Inderaputera bukan sahaja tidak takut dengan peri yang berada di dalam tasik malah dengan tangkas dapat menangkap rambut peri tersebut.


Berpegang pada janji. Peri telah menunaikan janjinya kepada Inderaputera untuk memberikan geliga kepada Inderaputera.




Watak Sampingan:




Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


Ayahandanya Maharaja Syah Tokan


Tunangan Raja Mengerna Lela Dewa


Rupa paras yang amat cantik


Berpegang pada janji. Tuan Puteri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera sebagaimana yang dijanjikan.






Latar:




Latar Tempat:


(i) Tasik - tempat peri tinggal.


(ii) Mahligai - tempat tinggal Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran


(iii) Balai Rangga Puspa Berahi - tempat yang disediakan oleh Tuan Puteri kepada Inderaputra




Latar Masa:


(i) Waktu fajar - Tuan Puteri datang ke tepi tasik untuk kali ke tujuh


(ii) Waktu malam - Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran mengenakan baju antakesuma dan pakaian yang sangat cantik


(iii) Tengah malam - Inderaputera duduk bersembunyi di tepi tasik menunggu kedatangan Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran




Latar Masyarakat:


(i) Masyarakat feudal - Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja


(ii) Masyarakat yang menepati janji. Peri telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikannya jika Inderaputera melepaskannya








Nilai:




Nilai keberanian. Contohnya, Inderaputera berani menghadapi raksaksa walaupun telah diberi amaran oleh mayat.


Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksaksa keluar dari tasik dan mengambil peluang mencengkam rambut raksaksa semasa raksaksa ingin menindihnya.


Nilai menempati janji. Contohnya, Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.
Pengajaran:


Kita hendaklah berani dalam menghadapi situasi yang mencabar. Inderaputera tidak gentar menghadapi peri sehingga dapat menangkap peri tersebut.


Kita hendaklah menggunakan akal dalam apa-apa situasi. Inderaputera mencuri baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran agar dapat bertemu Tuan Puteri.


Kita hendaklah berpegang pada janji. Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran telah menyerahkan gemala hikmat kepada Inderaputera seperti yang dijanjikan.


anak tenggiling tidur mati, komen/like-lah kalau baik hati :)

0 comments:

 
copyright@Si.y Arts 2010